Atas
nama cinta, semua cabaran sanggup diharungi semata-mata mahu
membuktikan kesetiaan kepada pasangan. Hingga satu tahap, andai takdir
menentukan, faktor jarak bukan lagi halangan untuk teruna dan dara
menyemai kasih.
Biarpun
dipisahkan beribu kilometer, perasaan kasih yang mendalam seolah-olah
menutupi kekurangan dan permasalahan yang timbul dalam perhubungan jarak
jauh. Sabar dan sanggup berkorban mungkin sesuai menjadi kata kunci
bagi pasangan yang bercinta jarak jauh.
Namun,
biar situasi apa sekalipun, soal kesetiaan sentiasa menjadi perkiraan
dan percaturan penting bagi pasangan bercinta jarak jauh. Tidak kira
lelaki mahupun wanita, kesetiaan dalam menjalinkan perhubungan jarak
jauh boleh bertukar menjadi duri dalam daging jika dinodai hingga
mengikis kepercayaan dan kesetiaan yang disimpan selama ini.
Lama
tidak bersua muka, mendengar suara dan sekadar melepas rindu di alam
siber - apakah ini mampu dihadapi pasangan bercinta? Apakah hati mampu
bertahan andai saban hari hati gundah gulana dan diburu pelbagai
kemusykilan dan kegusaran mengenai si dia?
Semua
faktor ini sedikit sebanyak pasti menimbulkan ketegangan dan pergeseran
dalam hubungan jarak jauh. Apatah lagi, andai si dia jarang menghubungi
jauh sekali mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti lazimnya.
Akhirnya, hati mula dilanda cuak dan pelbagai persoalan mula menerjah
minda.
Sehubungan
itu, tidak mustahil soal kesetiaan menjadi persoalan hingga hati mula
dikuasai fikiran negatif mengenai si dia yang berubah sikap.
Dalam
memperkatakan isu hubungan jarak jauh, bagaimana jejaka menghadapinya?
Apakah lelaki boleh menjadi pencinta yang setia dan komited dalam
menjalin hubungan bersama si dia walaupun tidak bertentang mata?
Apakah
lelaki cenderung tewas dalam permainan jiwa hingga diam-diam curang
terhadap pasangan biarpun pada mulanya sekadar berseronok mengisi
kesunyian?
Mengulas
mengenai hubungan jarak jauh dan perilaku lelaki, Pengarah Institut
Sosial Malaysia, Prof. Madya Dr Fadzil Che Din, berkata secara psikologi
lelaki mampu mengharungi perhubungan jarak jauh dengan baik berdasarkan
kesan pemikiran mereka.
Dr
Fadzil berkata, umumnya seseorang lelaki dapat menguasai teknik
dinamakan sebagai helah bela diri di mana ia mampu mengharungi ego
lelaki dalam berdepan dengan risiko serta keadaan yang mengganggu
pemikiran mereka sama ada sedih, rindu dan sunyi.
“Sebab
itu, jika kita lihat, lelaki cuba mengalih perhatian mereka daripada
terganggu perasaannya dengan mengisi pelbagai aktiviti seperti
memancing, bermain bola sepak dan sebagainya.
“Lelaki
mampu mengharungi dengan baik kerana pengaruh oleh otak kiri yang
memandu pemikiran untuk menjadi lebih rasional,” katanya kepada XY -
Ikon Lelaki.
Berbanding
wanita, kata Dr Fadzil, golongan itu lebih cenderung mengekspresi diri
dengan membiarkan rasa sedih, rindu dan sebagainya kesan daripada
pengaruh kedua-dua belah otak. Ia secara tidak langsung menjadikan
mereka lebih sensitif, beremosi dan romantik.
Mengenai
kemungkinan lelaki berlaku curang, beliau berkata, secara dasarnya
lelaki berdepan dengan tiga fasa dalam kehidupannya bermula daripada
proses awal akil baligh sekitar usia 14 dan 15 tahun sebelum beralih
kepada fasa matang seawal usia 24 tahun.
Apabila mencapai usia 40-an, lelaki akan memasuki gelombang penurunan.
“Begitu
juga dengan wanita, mereka turut melalui fasa dalam putaran
kehidupannya di mana bermula daripada fasa datang bulan hinggalah kepada
usia ranum sekitar 21 tahun.
“Berbalik
pada kemungkinan lelaki berlaku curang, ia bergantung kepada cara
lelaki mengurus dirinya dalam berdepan dengan pelbagai cabaran yang
berkemungkinan untuk berlaku curang.
“Apabila
mencecah fasa ketiga dalam kitaran hidupan itulah menentukan sejauh
mana lelaki mampu berdepan dengan risiko kecurangan,” katanya yang
beranggapan tiada sebab untuk menggagalkan hubungan jarak jauh berikutan
adanya kemudahan teknologi maklumat (IT) yang semakin maju.
Mengumpamakan
pepatah ‘jauh di mata, dekat di hati’, Dr Fadzil berkata, komunikasi
yang tiada batasan secara logiknya mendekatkan hubungan walaupun tiada
bentuk hubungan fizikal yang dapat terjalin. Penting untuk menanamkan
kepercayaan dalam hati untuk memastikan hubungan jarak jauh berkesan
untuk satu tempoh masa yang panjang.
Dr
Fadzil berkata, adalah berbaloi untuk meneruskan hubungan jarak jauh
asalkan masing-masing sanggup bekerja keras dan tidak sesekali cuba
membangkitkan perkara yang boleh mencetuskan provokasi hingga akhirnya
boleh menggugat kepercayaan dan kebahagiaan.
“Dengan
hubungan sebegini, kita sepatutnya rasa gembira kerana ia sebenarnya
menguji sejauh mana kita mampu mengharungi cabaran hidup berjauhan.
Malah, apabila sudah berdepan cabaran sejauh ini, tiada masalah untuk
kita berdepan cabaran lebih besar.
“Cuma
pastikan, sentiasa memelihara hubungan dan tidak membangkitkan beberapa
persoalan hingga boleh mencetuskan pertelingkahan. Apabila
bertelingkah, bimbang pula ia boleh membawa kepada konflik lebih besar
sehingga boleh berpisah,”
p/s: Cinta hakiki adalah cinta pada Allah Yang Esa.
Bercintalah seikhlas hati bertunjangkan cinta Allah.